πŒπ€π‰π‹πˆπ’ π“π€πŠπ‹πˆπŒπ€π“ 𝐃𝐀𝐍 ππ„ππ˜π€πŒππ€πˆπ€π 𝐒𝐔𝐑𝐀𝐓 ππ„π‹π€ππ“πˆπŠπ€π ππ„π†π€π–π€πˆ πŒπ€π’π‰πˆπƒ πŒπ”πŠπˆπŒ π‹π€ππ“πˆπŠπ€π 𝐁𝐔𝐋𝐀𝐍 ππŽπ•π„πŒππ„π‘ πŸπŸŽπŸπŸ“

Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian

#
Selasa, 28-Oktober-2025, 9:00 pagi
Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian

Majlis Taklimat dan Penyampaian Surat Pelantikan Pegawai Masjid Mukim bagi lantikan bulan November 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada 28 Oktober 2025 bersamaan 6 Jamadilawal 1447H, bertempat di Dewan Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian.

Majlis yang bermula pada jam 9.00 pagi melibatkan seramai 43 orang Pegawai Masjid Mukim yang menerima surat pelantikan sebagai Pegawai Masjid Mukim iaitu Imam Tua, Imam Muda dan Bilal di masjid-masjid mukim di seluruh negeri Kelantan.

Majlis dimulakan dengan sesi taklimat yang telah disampaikan oleh YBrs. Ustaz Fathul Hakim bin Kamarul Zaman, Pegawai Pengurusan Pegawai Masjid Mukim, MAIK. Taklimat tersebut merangkumi aspek penting berkaitan bidang tugas, peranan serta tanggungjawab Pegawai Masjid Mukim, di samping memperincikan peraturan dan tatacara pengurusan masjid - masjid negeri Kelantan. Turut disampaikan adalah info berkaitan kebajikan pegawai masjid sebagai penghargaan kepada komitmen dan khidmat bakti mereka kepada masyarakat.

Majlis diteruskan dengan ucapan YABhg. Dato’ Haji Mohd Anis bin Hussein, Timbalan Yang Dipertua MAIK. YABhg. Dato’ Timbalan Yang Dipertua MAIK telah memberikan penekanan berkaitan kepentingan integriti, iltizam dan profesionalisme dalam melaksanakan tugas sebagai pemimpin komuniti di peringkat masjid. Beliau turut menyeru agar setiap Pegawai Masjid Mukim sentiasa memelihara imej institusi masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan, kebajikan dan perpaduan umat Islam di peringkat mukim.

Seterusnya, YABhg. Dato’ Timbalan Yang Dipertua MAIK telah menyempurnakan penyampaian surat pelantikan kepada 43 orang Pegawai Masjid Mukim bagi lantikan bulan November 2025. Majlis tersebut diakhiri dengan sesi bergambar kenang-kenangan Pegawai Masjid Mukim bersama YABhg. Dato’ Timbalan Yang Dipertua, MAIK.

Turut hadir bersama-sama memeriahkan majlis adalah YBrs. Haji Muhamad Rasani bin Ramli, Setiausaha MAIK; Al-Fadhil Dr. Haji Muhammad Hana Pizi bin Abdullah, Imam Besar Negeri Kelantan; Al-Fadhil Ustaz Muhammad Hafizi bin Ramli, Imam Tua Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian dan pegawai-pegawai Kanan MAIK.

Top